PEMBANTU kedai makan dipenjara dua minggu dan denda RM4,000
di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini.
Majistret Kamarul Hasyime Rosli turut menjatuhkan hukuman
denda RM1,000 terhadap tertuduh Khairul Ikhwan Kamaruddin, 26, yang mengaku
salah menunggang motosikal secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan
sekiranya gagal menjelaskan denda bagi kedua-dua kesalahan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merempuh Lans Koperal
Md Faizal Mohd Bakri, 23,yang sedang menjalankan tugas dengan motosikal Yamaha
RXZ sehingga menyebabkan kecederaan di Jambatan Pak Nik Lah, Pengkalan Chepa,
pada jam 11.30 malam, 9 Disember 2018.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya
sekali.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama,
tertuduh didakwa menunggang motosikal dalam keadaan gopoh dan cuai sehingga
menyebabkan kecederaan.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya
sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu dan anggota polis lain sedang
membuat sekatan jalan raya di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak memiliki lesen memandu
secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum melanggar pengadu sehingga tidak
sedarkan diri.
Terdahulu, peguam Norzaimah Mohamed dari Yayasan Bantuan
Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan berikutan tertuduh sudah insaf.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizuan Sulaiman
memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang
ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan