Penduduk rayu henti terus import sisa plastik




Pelabuhan Klang: Rata-rata penduduk yang tinggal berhampiran kawasan perindustrian menempatkan kilang haram dan berlesen memproses sisa plastik, di sini, merayu kerajaan menghentikan terus import sisa berkenaan.
Ini kerana sekiranya dibiarkan terus berleluasa, kawasan penempatan itu akan turut tercemar sehingga menyebabkan kesihatan penduduk turut terganggu.

Pelajar Sarjana Muda Perancangan Pelancongan dan Pengurusan Hospitaliti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Farah Najwa Sarifuddin, 23, yang juga penduduk Kampung Telok Gong berkata, udara kawasan tempat tinggal mereka juga terjejas dengan pertumbuhan industri pemprosesan sisa plastik import.
“Kadang-kadang pihak industri turut melakukan pembakaran untuk melupuskan sisa plastik yang tidak boleh diproses sehingga mengundang bau asap tidak menyenangkan.


“Selepas serbuan di beberapa kilang baru-baru ini dan pengusaha diarah hentikan operasi, berkurangan sikit pencemaran di kawasan ini. Saya berharap kilang berkenaan terus ditutup untuk keselesaan masyarakat setempat,” katanya.
Peniaga makanan di Masjid Al Ubudiah Telok Gong, Zanariah Dollah, 43, pula menyifatkan negara sudah tidak tertanggung jumlah sampah termasuk sisa plastik yang banyak terhasil saban hari.
Justeru, katanya, buat apa Malaysia mahu mengimport sisa plastik dianggapnya sebagai sampah luar negara yang sekali gus bukan sahaja menjejaskan persekitaran setempat malah membebankan negara.


“Kita biasa hidup dengan persekitaran bersih, kalau ada lambakan sampah luar negara lagilah kita rasa tak selesa,” katanya.
Penduduk Kampung Batu 4, Jalan Kapar, Mohd Sharil Ahmad, 67, pula beranggapan negara seolah-olah menjadi tempat buangan atau longgokan sampah negara lain jika industri pemprosesan sisa plastik import dibiarkan berleluasa.
“Di kampung kita pun dah banyak sampah, apatah lagi di dalam negara Jadi tak perlulah import sampah waima dikatakan sisa plastik berkualiti pun.
“Jika ada yang tak boleh diproses lalu dibuang pula jadi kotorlah. Lesen perlu disekat supaya jangan import lagi sisa plastik ke Malaysia. Penduduk bukan saja tidak selesa dengan kewujudan kilang itu malah lori yang membawa sampah plastik lalu-lalang turut mengganggu ketenteraman,” katanya.
Beliau menjelaskan kilang sisa plastik banyak terdapat di Batu 5, Batu 7 dan Jalan Meru di sini, yang terletak berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Nada sama diluahkan pemeriksa Masjid Kiyai Abdullah Umar Batu 4 1/2 Jalan Kapar, Ramdzan Jalaludin, 58, yang berkata sisa plastik tempatan sudah memadai untuk tujuan industri itu.
“Saya tak setuju kita import sisa plastik sedangkan di Malaysia sudah ada terlampau banyak sampah. Jika kita kumpulkan, kita boleh kitar semula guna sampah tempatan saja sudah memadai dan mencukupi,” katanya.
Harian Metro pada Jumaat lalu memetik Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) memberi tempoh sehingga Mac ini untuk menutup 100 kilang plastik haram di seluruh negara.
Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, tempoh itu diarahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) selaras penetapan Petunjuk Prestasi Menteri (MKPI) untuk meningkatkan penguatkuasaan 100 peratus.
“Kerajaan sangat bertegas membanteras kewujudan lambakan kilang haram yang bukan saja memproses sisa plastik tempatan malah diimport dari luar negara,” katanya Khamis lalu selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Bersepadu ke kilang kitar semula plastik terpakai di sekitar Telok Gong, di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...