MESKIPUN mendapat gelaran Raja Ular Bomba Kedah, namun Noorizun Kechik, 38, yang memiliki kemahiran mengendalikan ular termasuk yang berbisa tidak pernah mendabik dada, malah sedia mencurah ilmu untuk pelapisnya.
Noorizun yang berkhidmat sebagai anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi menganggap ilmu yang dimiliki itu adalah bagi dirinya terus berbakti kepada masyarakat dengan cara menangkap ular.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Russia berkata, menangkap ular bukan suatu tugas yang mudah kerana ia memerlukan kemahiran dan ketangkasan, malah beliau sendiri pernah dipatuk tedung selar dua kali sebelum ini.
Katanya, dia bernasib baik apabila memperoleh ilmu dari bapanya yang juga penangkap ular dan sering mengikutnya menangkap ular sejak kecil.
“Bagaimanapun, sejak berkhidmat sebagai anggota bomba tujuh tahun lalu, saya menggunakan ilmu yang ada untuk menangkap ular termasuk tedung selar yang paling berbisa.
“Ular tidak kira apa spesis sekali pun lebih suka berlindung di tempat sejuk dan disebabkan itu, orang ramai perlu menjaga kebersihan tempat kediaman bagi mengundang kehadiran ular ini,” katanya ketika ditemui di BBP Langkawi baru-baru ini.
Noorizun berkata, walaupun mahir mengendalikan ular namun dia sentiasa berhati-hati kerana jika tersilap langkah boleh mengundang maut atau kecederaan parah.
Katanya, setiap minggu dia akan memandikan semua ular termasuk lima ular sawa dan tiga tedung selar, tiga tedung senduk yang disimpan di dalam sangkar Taman Astakona di BBP Alor Setar termasuklah membersihkan sangkarnya.
“Tedung selar biasanya akan memakan semua jenis ular sebagai mangsanya, manakala ular sawa pula perlu diberi makan ayam atau biawak sebagai ‘hidangannya’.
“Bagaimanapun, ular tidak perlu diberi makan setiap hari kerana mereka mampu hidup asalkan ada air sudah cukup,” katanya.
Noorizun berkata, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan kerap panas sekarang ini boleh mengundang kehadiran ular terutamanya tedung selar dan tedung senduk untuk keluar mencari makanan dan perlindungan.
Katanya, antara kawasan yang paling banyak ular tedung selar adalah di kawasan berbukit seperti Padang Terap, Alor Setar, Langkawi dan Serdang.
“Oleh itu, kami mempunyai Skuad Khas Pengendalian Ular seramai lima orang yang berperanan untuk memberi tunjuk ajar kepada anggota balai lain untuk menangkap ular.
“Biasanya kucing antara haiwan yang boleh mengesan kehadiran ular di dalam rumah dan jika ternampak kelibat biawak berlari di kawasan rumah, ia mungkin mengundang kehadiran ular tedung selar,” katanya.
Norizun berkata, sekiranya terkena patukan ular, mangsa tidak perlu panik kerana ia akan menyebabkan aliran jantung bergerak laju dan bisa akan cepat mengalir dalam darah.
Katanya, sebaiknya mangsa perlu mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dengan mengetahui jenis ular yang mematuk dan tidak sesekali menghisap bisa ular kerana ia boleh mengundang bahaya sekiranya terkena luka pada mulut.
“Nasihat saya supaya jangan memukul ular sesuka hati kerana ia boleh mengundang bahaya, sebaiknya hubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap ular di kawasan kediaman.
“Kami mempunyai peralatan khas untuk menangkap ular selain menggunakan kepakaran yang ada untuk mengumpan ular sebelum dapat menangkapnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan