Periksa keselamatan tapak pendakian



ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyarankan pihak bertanggungjawab supaya menilai tahap keselamatan di bukit dan gunung yang digunakan untuk aktiviti mendaki di negara ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab berkata, penilaian tahap keselamatan di semua lokasi pendakian perlu dijalankan berikutan banyak tempat baharu yang diterokai untuk aktiviti itu.
"Perkembangan positif apabila masyarakat mula membabitkan diri dengan aktiviti lasak ini.
"Ia satu daripada aktiviti riadah yang sihat dan menyeronokkan sekali gus menjadi pilihan. Justeru saya difahamkan banyak lokasi baharu yang mula diterokai untuk aktiviti ini.
"Bagaimanapun kita bimbang sekiranya lokasi pendakian yang baharu diterokai ini berisiko dan mengundang bahaya kepada pendaki," katanya ketika ditemui pada Program Kecergasan APM di Tapak Pendakian Bukit Besar, Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan semua anggota APM di setiap daerah supaya menjalankan pemantauan di lokasi pendakian secara berjadual untuk mengenal pasti bentuk bantuan segera yang boleh diberikan sekiranya berlaku kes kecemasan di lokasi.
"Penting untuk mengenal pasti persekitaran laluan di tapak pendakian untuk memberi kemudahan kepada pasukan penyelamat ketika operasi menyelamat.
"Apa saja kes kecemasan boleh berlaku sepanjang aktiviti pendakian dijalankan, justeru saya menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati.
"Jika tidak sihat atau keletihan jangan memaksa diri untuk menjalankan aktiviti pendakian kerana ia boleh memberi kesan tidak baik kepada diri sendiri," katanya.
Menurutnya, keadaan cuaca juga perlu dititik beratkan kerana ada pendaki tetap mendaki ketika hujan dan ia jelas berisiko kerana faktor permukaan tanah yang licin.
"APM akan sentiasa bersiap sedia dalam menghulurkan bantuan kecemasan, tetapi masyarakat juga perlu peka dengan keselamatan mereka ketika beriadah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...