SEORANG petani dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas tuduhan menyamun motosikal milik seorang wanita warga emas, Disember lalu.
Hakim Juraidah Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Shafiq Abdul Rahman, 21, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Tertuduh turut diarahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 3 Januari lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Shafiq didakwa menyamun motosikal Yamaha 135LC milik Kim Din Chan, 61, di tepi sungai Kampung Paya Lipai, Sungai Tiang, Pendang, pada 3 petang 25 Disember lalu.
Tertuduh didakwa menolak mangsa hingga terjatuh ke dalam sungai sebelum melarikan motosikal terbabit.
Muhammad Shafiq didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
NSTP sebelum ini melaporkan seorang wanita yang sedang memancing di sungai di Kampung Paya Lipai, Sungai Tiang, Pendang terjatuh ke dalam sungai selepas disamun dan ditolak lelaki tidak dikenali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan