SAMAN RM300 akan dikeluarkan serta-merta kepada pemandu yang didapati melakukan enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat ke-14 sempena Tahun Baru Cina 2019 bermula 29 Januari hingga 12 Februari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, antara kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, memotong barisan, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi ketika memandu.
Katanya, tindakan itu bertujuan mendidik pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang, selain menjamin keselamatan di sepanjang musim perayaan.
“Kita menjangkakan berlaku kesesakan di beberapa lokasi tertentu disebabkan oleh pertambahan kenderaan kerana cuti perayaan Tahun Baru Cina.
“Disebabkan itu, polis meningkatkan pemantauan bagi memastikan aliran trafik terkawal dan mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat ke-14 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah utara, Seremban, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Azisman Alias dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin.
Selain itu, Noor Rashid berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan PLUS bagi membuka laluan kecemasan kepada semua kenderaan pada musim perayaan ini di dua laluan kritikal di Perak.
Katanya, laluan itu ialah Kilometer 287 hingga Kilometer 289.95 Lebuhraya PLUS di Simpang Pulai-Gopeng berhampiran Hentian Simpang Pulai dan Kilometer 367.3 arah utara dari Slim River ke Sungkai.
“Kita tiada masalah untuk membenarkan PLUS membuka laluan kecemasan itu sekiranya ia boleh mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.
“Anggota polis juga akan ditempatkan di kedua-dua laluan berkenaan bagi memastikan kelancaran terutama berlaku kecemasan atau kemalangan,” katanya.
Sementara itu, katanya, statistik kemalangan menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 21,041 kes pada tahun lalu berbanding 20,752 pada tahun sebelumnya.
Katanya, tindakan saman turut catat peningkatan dengan 385,547 saman dikeluarkan pada tahun lalu berbanding 255,392 (2017).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan