SEORANG anggota polis ditahan, kelmarin kerana meminta suapan RM1,700 daripada seorang lelaki bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Sumber polis berkata, suspek ditahan di rumahnya di Taman College Heights, Seremban selepas pengadu membuat laporan polis.
Terdahulu, pengadu iaitu seorang lelaki berusia 30-an yang juga pekerja syarikat swasta di Seremban 2, dihubungi adik lelakinya berusia 25 tahun pada 4 petang Rabu lalu menyatakan dia ditahan di Balai Polis Sikamat, Seremban kerana memiliki syabu.
“Sewaktu berada di rumahnya di Seremban 2 pada 7 malam, Khamis lalu, pengadu didatangi seorang lelaki berusia 38 tahun yang mendakwa mahu membantu membebaskan adiknya,” katanya.
Kata sumber itu, lelaki berkenaan membawa pengadu ke rumahnya di Taman College Heights lalu dipertemukan seorang lelaki berusia 31 tahun yang mendakwa pegawai polis Bukit Aman.
“Dalam pertemuan itu, anggota terbabit meminta RM1,000 bagi mengubah laporan polis dan membebaskan adik pengadu.
“Sebaik menerima wang, anggota terbabit beredar dari kediaman itu dan kembali semula sejam kemudian,” katanya.
Menurut sumber lagi, suspek turut memberikan laporan polis yang didakwa sudah diubah, malah kes terhadap adik pengadu sudah ditutup.
“Pada Sabtu lalu, anggota polis itu sekali lagi meminta RM1,000 daripada pengadu bagi melupuskan ujian air kencing adiknya yang positif dadah.
“Pengadu hanya memiliki RM700 dan wang itu dapat diserahkan pada keesokan harinya.
“Pengadu yang curiga dengan tindakan anggota polis berkenaan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum mengatur pertemuan semula dengan suspek,” katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan semula di rumah berkenaan pada 9 malam kelmarin, suspek ditahan anggota Bahagian Risikan Operasi Narkotik.
Katanya, turut ditahan rakan suspek iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun.
“Semakan mendapati suspek bertugas di berkhidmat di IPD Sepang manakala rakannya pekerja kedai memproses ayam di Ampangan, Seremban,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kedua-dua suspek direman empat hari bermula kelmarin hingga Khamis ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan