Suami isteri maut dalam kemalangan

SUAMI isteri warga emas yang sedang dalam perjalanan ke kebun maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Jasin-Bemban, Jasin, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa Wong Yoo Na, 71, dan isterinya, Tio Houi, 65, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menaiki motosikal dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Maju ke kebun milik mereka yang terletak di Tiang Dua.
Beliau berkata, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah kereta Proton Persona dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta itu dipandu oleh lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah Melaka ke Simpang Kerayong.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Arshad berkata, akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa tercampak kira-kira tiga meter ke bahu jalan.
“Kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayat mereka dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat,” katanya.
Katanya, pemandu kereta terbabit ditahan bagi membantu siasatan selain sampel darah turut diambil bagi tujuan ujian kandungan alkohol.
“Polis tidak menolak kemungkinan faktor mengantuk menjadi punca kemalangan.
“Kita turut meminta kerjasama orang awam yang melihat kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...