DUTCH Lady Milk Industries Bhd (DLMI) tidak menemui masalah
dengan produknya berdasarkan sampel ujian produk susu berperisa coklat Purefarm
1 liter.
Klip video pendek yang menjadi tular melalui WhatsApp,
baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki membuka sekotak susu coklat satu liter
dan mengosongkan kandungannya yang sudah rosak ke dalam sebuah mangkuk
bersebelahan sinki.
Dalam klip video berdurasi 1.06 minit itu, pengguna terbabit
membeli susu coklat itu dua bulan lalu dan beliau menyatakan tarikh luput pada
kotak susu itu adalah pada Julai 2019 namun kandungannya sudah sedia rosak.
Pengarah Pemasaran Tenusu Pengguna DLMI, Ramjeet Kaur Virik
berkata, pihaknya menyedari aduan pengguna pada 15 Januari lalu berkaitan satu
kotak susu yang memiliki kandungan cecair dan berketul-ketul.
Menurutnya, syarikat itu terus menghubungi pengguna terbabit,
mengenal pasti produk terjejas dan menjalankan ujian yang diperlukan pada susu
yang memiliki kod kumpulan sama.
"Keputusan ujian menunjukkan tiada masalah berkaitan
kualiti susu berkenaan. Setakat ini, kami percaya bahawa ini adalah kes
terpencil dan kami menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca utama
perkara ini," katanya kepada NST hari ini.
Beliau menegaskan DLMI menjaga standard kualiti dengan
serius dan syarikat itu memberi jaminan bahawa kesihatan dan kesejahteraan
pelanggan sentiasa menjadi keutamaan mereka.
"Kami akan terus menerapkan kawalan mutu dan
keselamatan paling ketat di seluruh rantaian pembuatan dan bekalan kami bagi
memastikan produk kami kekal pada tahap kualiti dan kebersihan tertinggi,"
katanya.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan