POLIS menahan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Man Cindian’ dipercayai mendalangi kes pecah rumah sekitar Saujana Utama, Sungai Buloh sejak Ogos tahun lalu.
Suspek, 35, yang ditahan pada 14 Januari lalu turut dikesan mempunyai 16 rekod jenayah iaitu enam kes jenayah pecah rumah dan 10 kes berkaitan dadah.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, susulan penahanan suspek, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki dipercayai berperanan sebagai orang tengah menjual barangan yang dicuri.
“Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan ke atas dua lagi lelaki dikenal pasti sebagai pembeli beberapa barangan dicuri suspek.
“Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan, manakala tiga lagi suspek termasuk dalang utama direman tujuh hari sehingga hari ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurut Shafa’aton, pemeriksaan di rumah suspek menemui semula sebahagian barangan yang dicuri antaranya komputer riba, televisyen, kamera, wang tunai dan telefon bimbit.
“Kita turut merampas sebuah Perodua Myvi disewa suspek dengan kadar RM100 sehari dan dipercayai digunakan ketika melakukan pecah rumah dan kita menemui pelbagai peralatan pecah rumah dalam kenderaan itu,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai bergerak secara solo dan mensasarkan rumah yang kosong selepas penghuninya keluar bekerja pada awal pagi sebelum memecah masuk melalui pintu belakang.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan