KEJADIAN kenderaan terhumban ke laut dari Jambatan Pulau
Pinang awal pagi semalam, adalah insiden kelima berlaku di jambatan berkenaan
dalam tempoh 2010 sehingga kini.
Dalam kejadian terbaharu ini, kereta dipercayai dipandu
penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, hilang kawalan selepas dilanggar
sebuah kereta lain di jambatan itu sebelum terhumban ke laut, 2.54 pagi
semalam.
Sehingga 3 petang ini, gerakan mencari masih gagal menemukan
mangsa.
Berdasarkan rekod diperoleh BERNAMA, kejadian pertama
seumpama itu dilaporkan berlaku pada 20 September 2010 apabila suami isteri
muda maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh
besi selusur Jambatan Pulau Pinang sebelum jatuh ke laut dalam kejadian
kira-kira 1.30 pagi.
Dalam insiden kedua pada 1 November 2012, seorang kerani
akaun maut apabila kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam
ke dalam laut di KM7.9 jambatan itu yang menghala ke Georgetown dalam kejadian
pada 3.30 pagi.
Mayat Tan Lean Loon, 24, ditemui di tempat duduk pemandu
dalam keadaan masih bertali pinggang keledar dan kerja-kerja mengangkat kereta
dan mangsa berakhir pada 12.15 tengah hari.
Dalam insiden ketiga, seorang lelaki tercampak ke dalam laut
setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain di KM1.4
Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi pada 30 Oktober 2015. Mangsa
Mohammad Noor Firdaus Yahya, 24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam
dalam lumpur di bawah jambatan itu.
Dua minggu selepas itu, pada 12 November 2015, seorang lelaki
maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan
menyebabkannya tercampak jatuh ke laut dari Jambatan Pulau Pinang di KM 0.6
menghala ke Perai dalam kejadian pada 5.49 pagi.
Berikut adalah kronologi kejadian kemalangan di Jambatan
Pulau Pinang menyebabkan mangsa dan kenderaan terhumban ke laut dalam tempoh
2010 sehingga kini:
*20 September 2010: Suami isteri muda maut selepas kenderaan
MPV yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang dalam satu
kemalangan kira-kira 1.30 pagi.
*1 November 2012: Seorang kerani akaun maut apabila
kenderaan dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke laut di KM 7.9
Jambatan Pulau Pinang menghala ke Georgetown dalam kejadian 3.30 pagi.
*30 Oktober 2015: Seorang lelaki tercampak ke dalam laut
setelah motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 1.4
Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian 9.30 pagi. Mohammad Noor Firdaus Yahya,
24, hanya cedera ringan apabila badannya terbenam dalam lumpur di bawah jambatan
itu.
*12 November 2015: Seorang lelaki maut selepas kereta
dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkannya tercampak jatuh ke
laut dari Jambatan Pulau Pinang di KM0.6 menghala ke Perai dalam kejadian 5.49
pagi.
*20 Januari 2019: Sebuah kereta dipandu seorang penuntut
kolej swasta terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah
kenderaan lain di KM4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dalam kejadian
pada 2.54 pagi Isnin.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan