SISTEM perbankan teras Bank Simpanan Nasional (BSN)
mengalami gangguan sejak jam 6.10 pagi Sabtu lalu, dan menjejaskan operasi
perbankannya di semua cawangan dan saluran perbankan automatik, kata
Pengerusinya Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Kemudahan Kad Kredit BSN bagaimanapun terus beroperasi
seperti biasa.
Dalam kenyataan, Abu Bakar berkata, bank itu sudah mengenal
pasti punca gangguan, dan dalam proses memperbaikinya, selain mengambil semua
langkah yang perlu untuk memastikan integriti sistem mantap sebelum kembali
beroperasi.
“Dalam kami menangani gangguan ini, kami bersedia melayani
pelanggan.
“Bermula 21 Januari (hari ini), kami menyediakan
perkhidmatan secara manual terpilih di cawangan kami, membenarkan pengeluaran
wang tunai sebanyak RM500 sehari untuk pekerja yang dibayar menerusi akaun
Akauntan Negara dan pesara, manakala RM200 sehari untuk pelajar yang
mengekalkan akaun mereka dengan bank itu,” katanya.
Menurutnya, BSN meminta maaf atas kesulitan yang dialami,
dan menghargai kesabaran dan sokongan pelanggannya.
Katanya, pihaknya juga berusaha untuk memastikan sistem
dipulihkan untuk operasi penuh secepat mungkin.
“Kami mahu memberi jaminan kepada semua pelanggan bahawa
semua simpanan dan deposit selamat dan dilindungi.
“Semua produk dan perkhidmatan perbankan akan dapat diakses,
secara berperingkat, sebaik sistem beroperasi semula,” katanya.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan