KERAJAAN Johor akan menyemak semula rekod berhubung tuntutan harta waris keturunan Datuk Bentara Luar Mohammed Salleh Perang, yang dianggarkan bernilai sehingga RM300 bilion.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, semakan akan dijalankan menerusi agensi kerajaan yang berkaitan bagi mendapat pengesahan, sekali gus kebenarannya.
“Kita (kerajaan Johor) perlu halusi kembali kerana ini adalah pada 1800 dan rekod-rekod terbabit ada atau tidak, itu perlu kita refer (dirujuk kembali).
“Pada pendapat saya, mereka yang ada pada hari ini seperti Setiausaha Kerajaan negeri, Pengarah Tanah dan Galian negeri tidak berapa aware all this thing (begitu peka tentang hal ini) melainkan rekod-rekod lama itu dirujuk kembali.
“Nanti kita study dan kemudian kita boleh memberi kedudukan sebenar hal itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Johor Corporation (JCorp) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Kota Tinggi, hari ini.
Ditanya dakwaan waris yang mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah Johor bagi pengesahan harta pusaka, Osman berkata, pihaknya sehingga kini belum mendapat maklum balas mengenai pengesahan surat itu.
“Saya masih belum nampak surat itu dan jika dia menyatakan sedemikian, nanti saya akan periksa semula sejauh mana kebenarannya,” katanya.
Semalam, waris keturunan Datuk Bentara Luar Mohammed Salleh Perang, menuntut kerajaan Johor untuk menyerahkan harta warisan milik Allahyarham yang dianggarkan bernilai sehingga RM300 bilion kepada waris yang berhak.
Wakil waris pentadbir, Mohd Zaini Aris berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat memberi kerjasama dalam memudahkan urusan dan proses tuntutan berkenaan.
“Kami mempunyai dokumen asal (Geran Tanah) yang sudah disahkan bahawa Allahyarham masih mempunyai aset yang belum dipindah milik di sekitar negeri ini.
“Justeru, kami selaku waris berharap perkara ini boleh diselesaikan dengan baik kerana sebelum ini terdapat halangan dan gangguan daripada pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ia berlanjutan sehingga ke generasi ke-8,” katanya.
Mohd Zaini berkata, sehingga hari ini terdapat 4,000 waris yang berhak ke atas harta berkenaan membabitkan lapan generasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan