'Saya ada hak tidak maklumkan Singapura'



“SAYA selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Johor juga berhak untuk tidak memaklumkan kepada mereka (Singapura) bahawa ini (perairan) adalah kawasan saya,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Osman berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau berada di perairan neutral dan tidak menceroboh wilayah Singapura ketika lawatan ke atas kapal Malaysia, pada 9 Januari lalu.
“Saya sudah memberi keterangan sebelum ini bahawa secara tidak langsung di endorse (disahkan) oleh PM (Perdana Menteri).
“Saya ke situ yang mana MV pedoman (aset Jabatan Laut) itu sudah berada di sana selama sebulan lebih. Jika itu menjadi suatu kesalahan mengapa Singapura tidak mengambil tindakan?
“Saya tidak masuk dan pergi ke kapal di mana kapal itu berlabuh. Jalan yang saya ambil tidak masuk dalam perairan Singapura sebagaimana Tun M katakan dan itu adalah benar,” katanya pada sidang media selepas Program Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Johor Corporation (JCorp) dan Agensi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Kota Tinggi, hari ini.
Osman berkata, beliau mempunyai hak untuk membuat keputusan termasuk mengadakan lawatan di kawasan pentadbirannya.
“Soal bahawa tidak mendapat kebenaran, saya sebagai Ketua Kerajaan Negeri... itu perairan Johor. Walaupun tertakluk kepada Kerajaan Persekutuan tetapi saya berhak untuk tidak memaklumkan kepada mereka bahawa ini adalah kawasan saya.
“Katakanlah saya ingin melawat daerah di Johor ini, adakah saya perlu memaklumkannya kepada Kementerian Dalam Negeri? Jadi, pendapat saya, ada percanggahan dalam kenyataan dibuat Kementerian Luar,” katanya.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui lawatan Osman ke atas kapal pengawasan Malaysia di pelabuhan Johor itu tanpa kebenaran Kerajaan Persekutuan, selain terkejut dengan reaksi berhubung perkara berkenaan.
“Maksud saya reaksi terhadap beliau (Osman) ke sana agak keterlaluan seolah-olah beliau pergi berperang. Maksud saya beliau cuma ke kapal, ke perairan neutral,” kata Dr Mahathir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Air terjun gunung ledang

Tempat yang menarik untuk dikunjungi, sesuai untuk keluarga dan teman-teman juga. Tempat ini dibuka setiap hari dan kemasukannya hanya Rm1.5...