NELAYAN Terengganu berkemungkinan menerima bantuan one-off
bernilai RM500 daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka ketika
musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan
Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya sedang
mempertimbangkan keperluan itu berikutan keluhan golongan berkenaan yang tidak
dapat ke laut menangkap ikan.
Katanya, perkara itu juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat
EXCO untuk tindakan lanjut.
“Kita faham masalah dihadapi nelayan pada musim tengkujuh
apabila mereka tidak dapat ke laut mencari rezeki, sedangkan banyak
perbelanjaan keluarga yang perlu dilunaskan.
“Bantuan sara hidup nelayan Kerajaan Persekutuan yang
sebelum ini RM300 sudah dikurangkan kepada RM200, sekali gus memberi kesan
kepada kehidupan mereka.
“Justeru, mereka memohon bantuan supaya kerajaan negeri
mengurangkan bebanan mereka dan kita ambil maklum perkara ini,” katanya selepas
Majlis Pertemuan Bersama Nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Azman berkata, sekiranya kerajaan negeri meluluskan perkara
itu, ia akan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta setahun untuk kebajikan
kira-kira 10,000 nelayan negeri itu.
“Apapun dari segi dasar kerajaan negeri, memang kebajikan
rakyat adalah keutamaan kita. Insya-Allah kita doakan yang terbaik,” katanya.
Kira-kira 50 nelayan hadir pada majlis itu yang turut
disertai Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali; Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pengarah LKIM Negeri,
Tengku Mohd Anuar dan Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin
Mohamed.
Sementara itu, Azman berkata, isu 12 nelayan tempatan yang
ditahan kerana menggunakan pukat tunda dalam Zon Pantai, kurang lima batu
nautika di Kampung Mangkuk, Setiu sudah dibawa ke Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani untuk perhatian.
Katanya, nelayan itu dalam keadaan terdesak untuk
mendapatkan hasil laut kerana musim tengkujuh, sehingga melanggar peraturan
ditetapkan mengikut Akta Perikanan 1985.
“Walaupun kita simpati dengan mereka, kita perlu menghormati
undang-undang. Cuma kita minta jasa baik pihak kementerian untuk mengurangkan
hukuman,” ujarnya.
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan