ARAU: Pokok ketum boleh ditanam
secara komersial jika nilai perubatannya dibuktikan secara saintifik dan
mempunyai permintaan tinggi di luar negara, kata Menteri Besar Perlis Datuk
Seri Azlan Man.
Beliau berkata ini bagi
mengelakkan tanaman itu disalahgunakan kerana pengambilan air ketum yang
berlebihan boleh memudaratkan kesihatan selain menyebabkan ketagihan.
Azlan berkata walaupun daun ketum
diakui mempunyai nilai perubatan tertentu dan digunakan secara tradisi untuk
mengubati beberapa jenis penyakit tetapi kajian saintifik mengenai nilai-nilai
perubatan tumbuhan itu tidak pernah dibuat.
"Saya tidak pasti jika ada
pihak di dalam atau luar negara pernah menjalankan kajian saintifik termasuk
menerbitkan jurnal atau mengeluarkan laporan mengenai daun ketum," katanya
kepada Bernama pada jamuan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Pauh di sini malam
tadi.
Beliau berkata demikian ketika
diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin
memohon kebenaran kerajaan untuk menanam pokok ketum secara komersial bagi
menambah pendapatan pekebun.
Dalam kenyataannya di Kuala Nerus,
Terengganu semalam, Zahidi berkata daun ketum yang didakwa mempunyai nilai
perubatan tinggi akan dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana mendapat
permintaan tinggi dari syarikat farmasi di sana.
"Sekiranya ada (maklumat
mengenai permintaan dari negara luar), mesti ada tindakan untuk memastikan daun
ketum yang ditanam secara komersial tidak disalahgunakan," kata Azlan.
Beliau berkata pada masa ini hanya
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi kebenaran khas untuk menanam pokok
ketum secara terkawal bagi tujuan penyelidikan termasuk kesan, khasiat dan
nilai-nilai perubatan secara saintifik.
Katanya beliau tegas dalam isu
daun ketum kerana tumbuhan itu sentiasa disalahgunakan dan dapatan awal kajian
Jabatan Pendidikan Perlis mendapati pelajar yang meminum air ketum mengalami
kesan negatif seperti ketagihan.
"Secara tidak langsung daun
ketum adalah punca pelajar ponteng sekolah dan kemerosotan prestasi mereka.
Sebab itu saya mahu pengambilan air ketum yang memudaratkan kesihatan dikekang
supaya tidak menjejaskan pelajar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan